• Kemaskini :25-9-2017.

Perutusan Pengarah Negeri

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali syukur ke hadhrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan kerberkatannya maka portal JKN Pahang telah dapat dilancarkan dengan jayanya. Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan seluruh semua bahagian JKNP kerana telah berjaya membangunkan portal yang berkonsepkan lebih informatif dan interaktif. Adalah diharapkan semoga portal ini dapat memberi faedah kepada seluruh warga JKN khasnya dan masyarakat amnya, insyaallah.

Di dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi, agensi kerajaan perlu menyediakan suatu pendekatan sistem penyampaian yang setaraf dengan tahap pendidikan dan profesionalisme masyarakat yang semakin meningkat. Laman Web berkonsepkan portal merupakan aplikasi yang amat berkesan untuk dilaksanakan di agensi kerajaan kerana ianya amat fleksibel, cepat, tepat dan meyakinkan. Selain fungsi dan objektif setiap bahagian, portal ini juga menyediakan maklumat yang berguna seperti aktiviti, direktori, sebutharga, pekeliling, sistem email, aduan secara online dan sebagainya untuk diaplikasikan oleh semua lapisan masyarakat.

Sesuai dengan kemajuan era ICT dan globalisasi ini Jabatan Kesihatan Negeri Pahang akan terus bersama memodenkan dan melengkapkan perkhidmatan secara berkomputer di dalam semua urusan. Pada masa kini Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah dan Hospital Daerah telah dilengkapi dengan infrastruktur rangkaian komputer yang dikenali sebagai HMIS2. Menggunakan rangkaian ini pengguna diperingkat daerah dapat berkomunikasi secara talian (intranet dan email) dengan pihak pengurusan di peringkat negeri dan Kementerian. Di samping itu juga Jabatan Kesihatan telah melaksanakan aplikasi CDCIS yang bertujuan untuk merekodkan maklumat yang berkaitan dengan penyakit berjangkit. Aplikasi ini beroperasi secara 'online' di peringkat daerah, negeri dan Kementerian.

Pihak Jabatan juga telah melaksanakan aplikasi e-SPKB iaitu aplikasi pembayaran baucer secara elektronik. Manakala bagi aplikasi HRMIS (Human Resources Management Information System), Jabatan Kesihatan Pahang telah dipilih sebagai ’pilot project’ bagi agensi persekutuan di Negeri Pahang.Dari masa ke semasa sistem-sistem lain sedang dirancang dan akan dibangunkan dalam tempoh yang terdekat ini dengan tujuan untuk memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan seterusnya dapat memberi kepuasan kepada semua pelanggan-pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat.

Akhir sekali, saya amat mengalukan-alukan sebarang bentuk cadangan, aduan dan maklumbalas yang membina daripada pengunjung portal ini bagi membolehkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengambil langkah-langkah memperbaiki, memperkemaskan dan seterusnya meningkatkan mutu perkhidmatan ke tahap yang paling optimum.

Sekian terima kasih.

" KESIHATAN UNTUK SEMUA"

 

" KAMI SEDIA MEMBANTU"

 

Dr. Sha'ari bin Ngadiman
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang