Unit Promosi Kesihatan
A) PENGENALAN
Unit Promosi Kesihatan, Jabatan kesihatan Negeri Pahang ditubuhkan pada tahun 1976. Unit ini dahulunya dikenali sebagai Unit Pendidikan Kesihatan sehinggalah ditukar kepada Unit Promosi Kesihatan pada tahun 2003. Unit Promosi Kesihatan adalah salah satu daripada Unit yang terletak di bawah Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang. Pada peringkat awal penubuhannya, unit ini ditugaskan untuk menerbit dan mengedar bahan-bahan bercetak pendidikan kesihatan. Pada tahun 1993, fungsi Unit ini telah beralih daripada penerbitan dan pengedaran bahan-bahan promosi kepada pengurusan program-program promosi dan pendidikan kesihatan termasuk latihan, khidmat runding promosi kesihatan, penyelidikan dan media massa. Fungsi utama Unit Promosi Kesihatan kini adalah untuk merancang, mengurus, melaksana, menyelaras, memantau dan menilai program pendidikan dan promosi kesihatan di Negeri Pahang. Program dan aktiviti promosi kesihatan memberi perkhidmatan sokongan kepada program kesihatan awam lain, program perubatan, program pergigian dan program farmasi. Aktiviti ini diwujudkan untuk mengintegrasikan komponen promosi kesihatan di dalam program-program tersebut di bawah Kementerian Kesihatan.
B) OBJEKTIF, VISI DAN MISI
OBJEKTIF
Untuk mencapai perubahan sikap dan tabiat bagi memperbaiki taraf kesihatan individu, keluarga dan masyarakat . Matlamat ini boleh dicapai melalui usaha-usaha:
- menyediakan maklumat kesihatan yang berkaitan kepada kumpulan sasaran khasnya dan masyarakat umumnya bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mereka mengenai kesihatan.
- memanam minat di kalangan masyarakat terhadap kepentingan kesihatan dan bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka sendiri.
- menyemai dan membangunkan sikap positif terhadap kesihatan kepada masyarakat.
- meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang langkah-langkah promosi kesihatan dan pencegahan penyakit yang disediakan dan memudahkan penerimaan langkah-langkah tersebut.
- menyedarkan orang ramai tentang perkhidmatan yang ada dan untuk meningkatkan penggunaan perkhidmatan dan kemudahan ini dengan betul.
VISI
Untuk menjadi sebuah pusat /unit yang cemerlang dan terlibat secara profesional dalam bidang promosi kesihatan yang berkualiti bagi membolehkan masyarakat mengamalkan Cara Hidup Sihat dan seterusnya menikmati kesihatan yang optima.
MISI
Untuk mempromosikan kesihatan masyarakat melalui;
- penyebaran maklumat yang tepat, wajar dan sesuai dengan cara yang inovatif, saksama dan tepat pada waktu.
- dorongan ke atas individu dan komuniti supaya mereka dapat bertindak terhadap faktor- faktor yang mempengaruhi kesihatan mereka.
- kolaborasi antara sektor dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan dan dengan sektor swasta.
C) PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN
Fungsi utama unit ini adalah untuk merancang, mengurus melaksana, menyelaras dan menilai program pendidikan dan promosi kesihatan di Negeri Pahang. Sejajar dengan itu, perkhidmatan yang dipertanggungjawabkan adalah seperti berikut.
- Perancangan, pembangunan, pelaksanaan dan penilaian program pendidikan dan promosi kesihatan.
- Pengurusan kempen-kempen seperti Kempen Cara Hidup Sihat, Sambutan Hari- Hari Khas kesihatan dan Program-Program Khas.
- Penerbitan, pinjaman dan pengedaran bahan-bahan promosi / pendidikan kesihatan.
- Pengurusan program promosi / pendidikan kesihatan melalui media massa.
- Pembentukan program latihan dalam bidang promosi / pendidikan kesihatan.
- Penyelidikan dalam bidang promosi kesihatan.
- Khidmat runding dalam bidang promosi kesihatan.