Soalan Lazim

Umum
1. Adakah terdapat mesin ATM di dalam kawasan hospital?
Ya, terdapat satu mesin ATM Maybank disediakan di ruangan lobi berdekatan dengan pintu masuk hospital di Tingkat Dua.
 
2. Adakah pihak hospital ada menyediakan kemudahan internet tanpa wayar (wifi)?
Tidak, perkhidmatan  internet tanpa wayar (wifi) masih belum disediakan di ruangan lobi hospital.
 
3. Adakah tempat letak kenderaan disediakan di dalam kawasan hospital?
Ya, anda boleh meletak kenderaan anda di mana-mana kawasan yang bertanda P dan ianya adalah percuma.
 
4. Dimana saya boleh membeli barangan runcit dan makanan? Apakah perkhidmatan lain yang disediakan?
Terdapat 2 kedai runcit di lobi hospital di Tingkat 2. Anda juga boleh membeli setem, surat khabar dan majalah di situ. Kafeteria juga terdapat di kawasan yang sama.
 
5. Adakah merokok dibenarkan di dalam kawasan hospital?
Tidak, kawasan hospital adalah kawasan larangan merokok.
 
6. Mengapakah kerusi dia lobi dan ruang-ruang menunggu tidak mencukupi?
Pada awalnya, lobi dan ruang-ruang menunggu di HoSHAS dibuat berkonsepkan tanpa kerusi. Walau bagaimanapun, memandangkan konsep ini kurang bersesuaian dengan budaya tempatan, HoSHAS telah menyediakan beberapa buah kerusi untuk keselesaan pesakit bersantai bersama keluarga dan untuk kemudahan pelawat semasa menunggu waktu melawat. Penyediaan kerusi dan kemudahan yang terdapat di hospital juga adalah berdasarkan peruntukan yang sedia ada selain daripada sumbangan serta wakaf daripada orang ramai.
 
7. Mengapakah parkir kederaan tidak mencukupi?
Terdapat 941 lot tempat letak kenderaan disediakan untuk pelawat dan kakitangan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah. Memandangkan hospital ini menggunakan sistem waktu bekerja syif, ini menepati peraturan yang telah ditetapkan oleh EPU (Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri) iaitu 1 parkir : 4 wargakerja
 
8. Apakah tahap kebersihan dan keselesaan tandas yang diesediakan?
Tandas dibersihkan sekurang-kurangnya 6 kali sehari dan penyeliaan terhadap kebersihan tandas akan dilakukan secara berkala terutamanya semasa waktu puncak. Pelawat adalah dinasihatkan untuk sama-sama menjaga kebersihan tandas dan tidak membuang sebarang sisa-sisa yang tidak sepatutnya ke dalam mangkuk tandas atau sinki bagi memastikan tandas berada dalam keadaan yang baik.
 
9. Kenapakah tempoh waktu melawat singkat?
Kawasan hospital merupakan kawasan yang sering terdedah kepada jangkitan penyakit. Waktu melawat pada hari Sabtu, Ahad dan Hari Kelepasan Am telah dihadkan bagi memastikan para pelawat tidak terdedah dengan wabak penyakit sekaligus mengurangkan risiko penyakit berjangkit dikalangan pesakit dan para pelawat.
 
10. Kenapakah kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan naik ke wad?
Kawasan hospital khususnya di wad-wad sering terdedah kepada sebarang jangkitan penyakit. Kanak-kanak merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti memandangkan imunisasimereka tidak kuat. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan kanak-kanak mendapat sebarang jangkitan penyakit, pihak HoSHAS mengambil inisiatif untuk tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun melawat pesakit di wad.
Latihan & Kerjaya
1. Bagaimana caranya untuk saya memohon latihan industri di HOSHAS?
Pelajar yang berminat untuk menjalankan latihan industri di HOSHAS perlu membuat permohonan rasmi bertulis kepada Pengarah HOSHAS. Pelajar perlu menyertakan:
  1. Resume pelajar;
  2. Salinan Kad Pengenalan yang telah disahkan;
  3. Sijil-sijil yang telah disahkan (yang berkaitan); dan
  4. Surat pengesahan pelajar IPTA/IPTS/Kolej berkenaan
Permohonan perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sebelum latihan bermula.
 
2. Bagaimana pula caranya untuk saya memohon menjalani Posting Elektif di HOSHAS?
Permohonan rasmi boleh dibuat secara bertulis kepada Pengarah HOSHAS dengan menyertakan:
  1. Resume pelajar;
  2. Borang Permohonan Menjalani Posting Elektif Di Fasiliti KKM yang boleh didapati di www.moh.gov.my – Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil. 16/2008;
  3. Surat pengesahan atau sokongan dari Dekan IPTA/IPTS yang berkenaan;
  4. Salinan Kad Pengenalan atau Pasport (bagi bukan warganegara) yang telah disahkan.
Permohonan perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sebelum latihan bermula.

3. Bagaimanakah akan saya ketahui jika permohonan saya berjaya?
Surat kelulusan untuk menjalankan latihan industri/Posting Elektif akan dihantar oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang kepada:
  1. IPTA/IPTS/Kolej yang berkenaan;
  2. Pelajar yang memohon;
  3. HOSHAS;
Atau

Pelajar boleh menghubungi Unit Latihan HOSHAS di talian 09-2955333 samb. 5376/1321.

4. Adakah HOSHAS menyediakan kemudahan penginapan?
Tidak, HOSHAS tidak menyediakan kemudahan penginapan sepanjang latihan industri berjalan.

5. Adakah elaun diberi kepada pelajar yang menjalani latihan industri?
Tiada sebarang elaun dibayar sepanjang tempoh pelajar menjalani latihan di Jabatan ini.

6. Bagaimanakah  saya boleh mendapatkan keterangan  lanjut berkenaan dengan latihan industri/Posting Elektif tersebut? 
Anda boleh mendapatkan maklumat berkenaan dari:
  • Unit Latihan
    Bahagian Pentadbiran
    Hospital Sultan Haji Ahmad Shah
    Jalan Maran
    28000 Temerloh
  • No. Tel : 09-2955333 samb. 5376/1321
  • No. Faks : 09-2972468 

7. Bagaimanakah caranya untuk memohon jawatan kosong di HOSHAS?
Urusan pengambilan jawatan tetap ke perkhidmatan awam adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Sehubungan itu, setiap permohonan untuk pengisian jawatan kosong perlulah dibuat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) iaitu menerusi laman web www. spa.gov.my (SPA8).

Permohonan kerja secara sambilan (pelbagai jawatan) di HOSHAS boleh dihantar permohonan rasmi secara bertulis kepada Pengarah HOSHAS dengan menyertakan:
  1. Resume pemohon;
  2. Jawatan yang dipohon;
  3. Salinan sijil-sijil yang berkaitan yang telah disahkan.
** Pengambilan hanya dibuat apabila ada keperluan.
Rawatan Perubatan
1. Bagaimana caranya untuk mendapatkan rawatan di klinik pakar?
Anda perlu diperiksa oleh pegawai perubatan di klinik kesihatan terlebih dahulu sebelum dirujuk kepada klinik pakar.

2. Adakah waris dibenarkan menunggu pesakit di dalam wad?
Ya. Ibu/bapa/penjaga jika pesakit kanak-kanak, Manakala pesakit dewasa Cuma mereka yang tenat sahaja dan penjaganya mestilah sama jantina.

3. Adakah semua kematian yang melibatkan kes polis mesti dibedah siasat?
Tidak semestinya. Bedah siasat hanya akan dibuat sekiranya ada post mortem order dari pihak polis.

4. Adakah cara untuk mengelakkan bedah siasat?
Boleh, hanya dengan perintah pembatalan bedah siasat dari Majistret.

5. Adakah pihak hospital bertanggungjawab di atas kehilangan harta benda atau kenderaan pesakit / waris?
Tidak. Pihak hospital tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan. Oleh sebab itu pesakit/waris dinasihatkan tidak membawa sebarang barang berharga semasa berada di hospital.

6. Adakah bomoh dibolehkan melawat dan merawat pesakit di dalam wad?
Boleh melawat, tetapi tidak merawat atau menganggu pesakit.

7. Di mana saya boleh dapatkan bantuan kebajikan pesakit?
Pesakit boleh membuat permohonan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang ada di setiap daerah dengan surat sokongan dari pegawai yang merawat di hospital terbabit.

8. Bolehkah waris mengiringi pesakit lebih daripada satu orang?
Tidak boleh melebihi 1 orang. Ianya adalah polisi Kementerian Kesihatan Malaysia.

9. Jika pesakit mempunyai alahan kepada mana-mana ubatan/makanan, perlukah saya memaklumkan doktor?
Ya, pesakit haruslah memberi tahu doktor yang merawatnya agar reaksi alahan yang serius dapat dielakkan.

10. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan perawatan Fisioterapi?
Setiap pesakit perlu berjumpa Pakar atau  Pegawai Perubatan di mana - mana klinik Kerajaan atau swasta. Mereka akan membuat penilaian dan pemeriksaan dan menentukan kesesuaian indikasi untuk di rujuk kepada Fisioterapi. Surat Rujukan mesti disertakan semasa mendaftar dan menetapkan temujanji. Ulangan perawatan adalah berdasarkan kepada temujanji.

11. Jika saya dimasukkan ke Wad bagaimanakah untuk saya mendapatkan perawatan Fisioterapi?
Mana - mana pesakit yang sedang menerima perawatan di dalam wad, jika dinilai oleh Pakar atau Pegawai Perubatan mempunyai indikasi, boleh dirujuk untuk perawatan Fisioterapi. Jurupulih Perubatan Anggota yang bertugas akan membuat penilaian dan akan menentukan program yang bersesuaian.

12. Apakah masalah - masalah biasa yang dirujuk untuk menjalani perawatan Fisioterapi?
Peratusan terbesar yang selalu diterima untuk menjalani perawatan  Fisioterapi adalah berkenaan masalah Sakit Belakang (Back Pain). Diikuti masalah  Kesakitan pada sendi disebabkan  perubahan degeneratif ataupun traumatik. Kelemahan otot dan kemerosotan julat pergerakan sendi juga antara masalah yang biasa. Kes - kes medikal dan pediatriks selalunya melibatkan masalah pernafasan.

13. Apakah katarak?
Katarak disebabkan kanta mata menjadi legap & menjejaskan penglihatan. Dirawat melalui pembedahan di mana katarak dibuang & digantikan dengan kanta buatan.

14. Berapa lama perlu makan ubat ? (Jabatan Psikiatri Dan Kesihatan Mental)
Penggunaan ubat bergantung kepada jenis-jenis penyakit. Ada penyakit seperti penyakit mental yang serius, perlu diberi rawatan seumur hidup sama seperti penyakit fizikal kronik yang lain.

15. Apakah kesan sampingan ubat ? (Jabatan Psikiatri Dan Kesihatan Mental)
Ubat psikotropik terdiri daripada pelbagai jenis.Bagi penyakit seperti kemurungan, keresahan yang menggunakan ubat "antidepreesant" kesan sampingan berbeza berbanding ubat “ antipsyanotic”. “Anti depressant” banyak kesan sampingan seperti loya dan muntah manakala “antipsyanotic” kesan seperti mengantuk, mengganggu pergerakan.
Permohonan Laporan Perubatan

1. Bagaimanakah cara untuk mendapatkan laporan perubatan?

Melalui surat permohonan (bagi permohonan melalui pos) atau menggunakan borang permohonan (bagi permohonan melalui kaunter di Jabatan Rekod Perubatan)

Cara Permohonan melalui pos

•Membuat permohonan bertulis kepada Pengarah, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (U/P: Jabatan Rekod Perubatan) dengan menyertakan dokumen seperti di bawah (rujuk Tatacara Permohonan Laporan Perubatan): 
         ◦Surat keizinan mengeluarkan laporan perubatan yang ditandatangani oleh pesakit atau waris jika pesakit dibawah umur 18 tahun menggunakan borang permohonan (Muat Turun Borang Permohonan)

         ◦Sesalinan kad pengenalan pesakit / wariS

         ◦Sesalinan kad rawatan/ ringkasan discaj/ sijil cuti sakit/ sijil kematian.

•Melampirkan borang jika sekiranya permohonan bertujuan untuk mendapatkan tuntutan insuran, pengeluaran KWSP, PERKESO dan sebagainya (jika berkaitan)

•Membuat bayaran (rujuk jadual caj bayaran) dengan melampirkan wang pos atau cek dan dibayar atas nama Pengarah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.

Cara permohonan melalui kaunter di Jabatan Rekod Perubatan

•Pesakit hadir sendiri dengan membuat permohonan melengkapkan borang permohonan 
( )dlm.HoSHAS.REK.12.6/ ) 
Muat Turun Borang Permohonan

•Menyediakan dokumen seperti dibawah (rujuk Tatacara Permohonan Laporan Perubatan): 
       ◦Sesalinan kad pengenalan pesakit / waris
       ◦Sesalinan kad rawatan/ ringkasan discaj/ sijil cuti sakit/ sijil kematian.

•Melampirkan borang jika sekiranya permohonan bertujuan untuk mendapatkan tuntutan insuran, pengeluaran KWSP, PERKESO dan sebagainya(jika berkaitan)

•Membuat bayaran bagi permohonan laporan perubatan (rujuk jadual caj bayaran)

2. Berapa lama proses untuk mendapatkan laporan perubatan?

Tempoh penyerahan laporan siap kepada pemohon adalah dalam masa 4 minggu hari bekerja.

Selepas 3 minggu dari tarikh memohon, anda boleh menghubungi Bahagian Laporan Perubatan untuk mengetahui status atau perkembangan laporan berkenaan.

Pihak Jabatan Rekod Perubatan akan memaklumkan laporan yang siap melalui surat.

3. Adakah bayaran dikenakan untuk mendapatkan laporan perubatan?

Laporan Perubatan dikenakan bayaran mengikut Jadual Caj Laporan Perubatan:

JENIS LAPORAN

* WARGANEGARA

** WARGANEGARA ASING

 

Laporan Perubatan Biasa oleh Pegawai Perubatan

RM 40

RM 120

Laporan Perubatan Biasa oleh Pakar (Laporan Ringkas Pakar)

RM 80

RM 240

Laporan Terperinci oleh Pakar

RM 200 - RM 1,000 mengikut kerumitan

RM 400 - RM 2,000 mengikut kerumitan

Catatan : * Rujuk Perintah Fi (Perubatan) 1982

            ** Rujuk Perintah Fi Perubatan (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014

4. Adakah waris atau pihak ketiga dibenarkan memohon laporan perubatan pesakit atau simati setelah mendapat keizinan daripada keluarga pesakit atau simati?

Waris atau pihak ketiga dibenarkan memohon laporan perubatan pesakit atau simati dengan mematuhi syarat berikut:

  • Surat keizinan ASAL yang ditandatangani oleh pesakit ataupun waris. Salinan Sijil Nikah / Sijil Kelahiran pemohon menunjukkan pertalian pesakit.
  • Jika pesakit meninggal dunia, SALINAN pengesahan waris yang sah disegi undang-undang perlu menyertakan dokumen yang berkaitan sebagai bukti.
  • Permohonan Laporan Perubatan bagi pesakit warganegara asing yang tidak dapat dikesan / meninggal dunia, atau warisnya juga tidak dapat dihubungi, perlu disertakan dengan surat keizinan ASAL dari pihak Kedutaaan Negara berkenaan.
  • Bagi pesakit berumur bawah 18 tahun atau pesakit yang tidak sedarkan diri atau kurang upaya mental ataupun telah meninggal dunia surat keizinan ASAL dari waris terdekat diperlukan.

5. Adakah boleh wakil  mengambil laporan perubatan yang telah siap?

Boleh.  Bagi pungutan melalui kaunter, hanya pesakit atau wakil yang membawa Surat Turun Kuasa sahaja yang dibenarkan mengambil laporan.

Diet & Pemakanan
1. Adakah makanan yang disediakan di hospital ini dicampur dengan ubat-ubatan?
Tidak, penyediaan makanan untuk pesakit di hospital tidak dicampur sebarang ubat-ubatan. Namun untuk sesetengah pesakit tertentu diberikan diet teraputik (diet biasa yang diubahsuai kandungan nutrien/zat tertentu) sebagai pelengkap kepada perawatan pesakit tersebut.

2. Mengapa makanan saya ini rasa tawar?
Makanan tawar atau rendah garam adalah salah satu diet teraputik yang disediakan untuk pesakit yang mengidap penyakit tekanan darah tinggi. Mungkin anda adalah pengidap penyakit tekanan darah tinggi.

3. Jika saya ingin kurus, adakah saya tidak boleh makan nasi?
Tidak betul. Kita mesti mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang untuk sihat dan cergas. Sekiranya ingin menurunkan berat badan, kurangkan pengambilan nasi bukan langsung tidak mengambilnya dan tingkatkan aktiviti fizikal.

4. Saya mempunyai soalan tentang pemakanan, siapakah yang boleh saya hubungi?
 Pegawai Dietetik boleh membantu anda, hubungi mereka pada waktu pejabat di talian 09-2955333 sambungan 5311/5312.

5. Saya perlu berjumpa dengan Pegawai Dietetik untuk mendapatkan nasihat pemakanan tentang penyakit kencing manis / darah tinggi / obesiti / kegagalan kegagalan / lain-lain, bagaimanakah caranya?
Pastikan dahulu anda mendapat surat rujukan dari Pegawai Perubatan, seterusnya dapatkan tarikh dan masa temujanji dengan menghubungi 09-2955333 sambungan 5311/5312. Untuk kemudahan anda, anggota klinik tempat anda mendapatkan rawatan boleh membantu anda menghubungi kami untuk mendapatkan tarikh temujanji ini.
Farmasi & Ubat-Ubatan
1. Bolehkah saya mendapat baki bekalan ubat seterusnya di klinik / hospital yang berhampiran dengan tempat tinggal saya?
Bahagian Perkhidmatan Farmasi telah memperkenal satu sistem yang membolehkan pesakit mendapat bekalan susulan di klinik/hosital berdekatan di mana ia dikenali dengan SPUB (sistem pembekalan ubat bersepadu). Hanya fasiliti yang tersenarai sahaja yang boleh dirujuk melalui SPUB. Dengan adanya sistem ini, pesakit tidak perlu lagi berulang alik dari kediaman ke HoSHAS untuk mendapatkan bekalan ubat.

2. Ubat titis mata boleh digunakan untuk berapa lama selepas dibuka?
Ubat titis mata boleh digunakan dalam tempoh 30 hari setelah ia dibuka atau bergantung kepada tarikh luput yang tertera pada botol ubat tersebut. Tempoh penggunaan ubat titis mata adalah berdasarkan arahan doktor mengikut pelan rawatan yang ditentukan.

3. Adakah terdapat cara mudah untuk saya mengambil ubat susulan?
Jabatan Farmasi menyediakan Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi (Value Added Services, VAS) yang boleh menjadi pilihan pesakit dalam memudahkan mereka mendapatkan bekalan ubat susulan.

Antara Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi yang disediakan di HOSHAS adalah

Sistem Pembekalan Ubat Bersepadu (SPUB)
Satu sistem rujukan seragam di antara farmasi asal dan farmasi pilihan pesakit yang berhampiran dengan kediaman pesakit bagi pengambilan ubat susulan mereka. Sistem ini dapat membantu pesakit dari aspek menjimatkan kos dan masa perjalanan pesakit untuk mendapatkan bekalan ubat susulan pada setiap bulan.

Ubat Melalui Pos Malaysia
Satu perkhidmatan penghantaran bekalan ubat susulan pesakit ke destinasi pilihan pesakit di seluruh Malaysia dengan caj penghantaran yang minima. Perkhidmatan ini ditawarkan kepada pesakit yang mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak farmasi.

Sistem Kad Temujanji (SMART) / CALL & TAKE / SMS & TAKE
Sistem Temujanji ini merupakan satu alternatif kepada sistem pendispensan di mana pesakit boleh menggunakan medium seperti telefon, SMS dan juga kad temujanji untuk memaklumkan tarikh temujanji kepada pihak farmasi bagi mendapatkan bekalan ubat susulan mereka.

Dengan menggunakan perkhidmatan ini, ubat-ubatan pesakit akan disediakan sekurang-kurangnya beberapa hari sebelum tarikh temujanji. Oleh itu, pesakit tidak perlu menunggu lama bagi mendapatkan ubat mereka seterusnya menjimatkan masa menunggu dan mengurangkan kesesakan di ruang menunggu farmasi terutama di waktu puncak (peak time).

Locker 4 U
Locker4u ialah perkhidmatan pembekalan ubat susulan melalui loker yang boleh didapati di Farmasi Klinik Pakar. Pesakit boleh mengambil ubat mengikut kesesuaian waktu masing-masing.
Pediatrik
1. Bagaimana saya boleh mendapatkan perkhidmatan kepakaran untuk anak saya di Klinik pakar kanak-kanak?
Anda boleh memperolehi perkhidmatan kepakaran di Klinik kami dengan membawa surat rujukan dari mana-mana Klinik ataupun hospital. Untuk pesakit –pesakit dari wad yang datang untuk rawatan susulan, anda hanya perlu membawa kad temujanji Klinik.

2. Bolehkah saya membawa anak saya untuk berjumpa dengan doktor di Klinik pakar pada bila-bila masa sahaja?
Anda perlu membuat temujanji dahulu di Klinik kami. Perkhidmatan kami adalah mengikut hari dan masa yang tertentu sahaja.

3. Bolehkah saya membawa saudara-mara saya untuk melawat bayi saya yang telah dimasukkan ke wad NICU/Nurseri untuk rawatan lanjut?
Hanya ibubapa yang dibenarkan masuk untuk melawat bayi mereka di wad NICU/Nurseri. Polisi ini adalah untuk mencegah jangkitan kuman kepada bayi­-bayi yang kurang sihat di wad ini.

4. Adakah setiap anak yang demam perlu diberikan antibiotik?
Tidak. Antibiotik hanya diberi sekiranya pesakit dijangkiti kuman "bakteria". Antibiotik tidak perlu diberi sekiranya pesakit dijangkiti kuman "virus".

5. Adakah selamat untuk memberi anak saya ubat batuk semasa selsema?
Walaupun ubat batuk banyak dijual di pasaraya dan farmasi, ianya tidak selamat untuk diberi kepada anak-anak di bawah umur lima tahun kerana ubat batuk mempunyai kesan sampingan yang kuat. Anak-anak mudah untuk mengalami gejala susah bernafas iaitu "Respiratory Depression".
Radiologi
1. Apakah Perkhidmatan Radiologi yang boleh ditawarkan kepada pelanggan atau pesakit?
  1. Pemeriksaan X-Ray Am
  2. Pemeriksaan X-Ray Pergigian
  3. Pemeriksaan Intravenous Urography (IVU)
  4. Pemeriksaan di Dewan Bedah (II)
  5. Pemeriksaan Fluoroscopy
  6. Pemeriksaan Ultrasound
  7. Pemeriksaan Mammography
  8. Pemeriksaan Computed Tomography Scanner (CT Scan)
  9. Pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI)

2. Apakah perkara yang perlu dipatuhi oleh pelanggan atau pesakit semasa datang untuk mendapatkan perkhidmatan radiologi?
  1. Setiap pelanggan mestilah mematuhi tarikh dan waktu temujanji berkala yang dipersetujui.
  2. Setiap pelanggan mestilah membuat pendaftaran di kaunter pendaftaran terlebih dahulu
  3. Setiap pelanggan bertanggungjawab menjaga harta benda awam dan peribadi
  4. Setiap pelanggan mesti mematuhi peraturan,prosedur dan khidmat nasihat yang berkaitan pada bila-bila masa

3. Bolehkah pesakit yang mengandung menjalani pemeriksaan X-Ray?
Pesakit yang mengandung seharusnya memberi tahu doktor bahawa mereka sedang mengandung. Seboleh-bolehnya dielakkan, terutama sekali 3 bulan permulaan mengandung, kerana kesan kepada pembentukan organ bayi dalam kandungan. Jika X-Ray terpaksa dijalankan, doktor akan memaklumkan pesakit dan akan melindungi bahagian perut dengan Penghadang Plumbum.
Jabatan Kecemasan & Trauma
1. Apakah perkhidmatan yang disediakan di Jabatan Kecemasan & Trauma?
Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Sultan Haji Ahmad Shah memberi perkhidmatan kecemasan 24 jam kepada populasi sekitar Temerloh dan beberapa kawasan yang berdekatan serta bertanggungjawab dalam melakukan penilaian awalan, perawatan, stabilisasi, dan penempatan pembedahan dan perubatan kecemasan. Jabatan Kecemasan dan Trauma ini juga menyediakan suasana persekitaran yang selamat dan perawatan kecemasan yang efisien. Perkhidmatan yang diberikan adalah berdasarkan plan yang komprehensif termasuklah pengendalian Pra Hospital, resusitasi, stabilisasi dan pengurusan perawatan ’definitive’, Khidmat Pusat Bersepadu (OSCC), dan pengendalian pasukan perubatan. Perawatan pesakit adalah berdasarkan ketenatan dan keadaan klinikal pesakit.

2. Apakah kes-kes yang boleh dirawat di Jabatan Kecemasan & Trauma?
Kes-kes yang boleh dirawat di zon kecemasan meliputi kes-kes akut multi disiplin termasuk perubatan, pembedahan dan kes-kes trauma. Kes-kes ini akan dibahagikan dirawat mengikut keutamaan dan tahap penyakit tersebut sama ada kritikal (Red zone), semi kritikal (Yellow Zone) dan tidak kritikal (Green Zone). Sistem ini dinamakan sistem saringan (triage). Sistem saringan ini adalah berdasarkan Malaysian Triage Category yang di keluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Contoh-contoh kes-kes kritikal yang diberi keutamaan adalah seperti kemalangan poly trauma, tidak sedarkan diri, sakit dada / serangan jantung, sawan, masalah pernafasan teruk seperti asthma. Kes ini perlu dilihat segera oleh pegawai perubatan. Kes separa kritikal adalah kes-kes yang boleh merbahayakan nyawa sekiranya tidak dirawat dengan betul. Kes ini perlu dilihat dalam tempoh 30 minit oleh pegawai perubatan. Contoh kes –kes separa kritikal adalah seperti kes trauma, pendarahan, angina ahmar (stroke), diabetes yang tidak terkawal dan tekanan darah yang terlampau tinggi melebihi 180 / 100 mmhg.

Kes tidak kritikal adalah kes-kes stabil yang perlu dilihat dalam tempoh 90 minit oleh pegawai perubatan. Contoh kes-kes tidak kritikal adalah seperti kes minor trauma, minor burn, keracunan makanan dan kes-kes yang boleh dilihat di klinik pesakit luar seperti demam, batuk dan selsema.

3. Apa yang perlu dilakukan oleh saya atau waris setibanya kami di Jabatan Kecemasan & Trauma?
Setibanya di kaunter kecemasan, pegawai penolong perubatan atau "triage officer" akan melihat dan menilai tahap keseriusan pesakit dan menghantar pesakit mengikut keutamaan di atas. Kemudian waris / pesakit akan diarah untuk melakukan pendaftaran dikaunter pendaftaran termasuklah memberikan maklumat seperti nama, nombor telefon, alamat dan waris untuk dihubungi.

4. Berapa lama jangka masa rawatan di Jabatan Kecemasan & Trauma?
Tempoh rawatan di Jabatan Kecemasan & Trauma adalah bergantung pada banyak faktor seperti:
  • Tahap keseriusan penyakit dan kecederaan tersebut.
  • Jenis dan bilangan prosedur yang dibuat.
  • Jumlah pesakit yang sedang dirawat di Jabatan Kecemasan & Trauma.
  • Keperluan rujukan pesakit ke wad atau respektif jabatan.
  • Masa pesakit berada di zon kecemasan terutamanya di waktu puncak.

Sebarang makluman berkaitan pesakit boleh diperoleh daripada staf yang bertugas di zon terlibat.
Sekolah Dalam Hospital (SDH)
1. Adakah belajar di Sekolah Dalam Hospital perlu dibayar?
Tidak, sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di Sekolah Dalam Hospital adalah percuma.

2. Apakah subjek yang diajar di Sekolah Dalam Hospital?
Subjek yang diajar ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Kesenian bagi tahun 1 hingga Tingkatan 5.

3. Bilakah waktu murid belajar?
Murid memulakan PdPc pada jam 10 hingga 12 tengahari pada sesi pertama dan dari jam 2.00 hingga 4.00 petang pada sesi kedua.

4. Dimanakah lokasi Sekolah Dalam Hospital?
Lokasi SDH adalah di aras 8. Terdapat dua bilik kelas, satu kelas rendah yang terletak di dalam Wad Melor 1 dan satu kelas menengah yang terletak bersebelahan Wad Bunga Raya 1.

5. Berapakah bilangan guru yang terdapat di SDH HOSHAS?
Pada ketika ini, jumlah guru adalah seramai 5 orang dan dibantu oleh seorang Pembantu Pengurusan Murid.

6. Adakah guru-guru di SDH dari Kementerian Pendidikan Malaysia?
Ya, semua guru-guru SDH adalah guru dari Kementerian Pendidikan Malaysia.
HOSHAS

QR Code
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.

Copyright © 2022 All Rights Reserved Sultan Haji Ahmad Shah Hospital Official Portal. Updates :27/03/2024 Total Visitors : 14119