LAWATAN KERJA HoSHAS KE KILANG JAPAN AIR FILTER MALAYSIA SDN BHD (JAF)
Pada 6 Mei 2026 (Rabu)- Unit Kejuruteraan Operasi Hospital (UKOH), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) telah mengadakan lawatan kerja ke kilang Japan Air Filter Malaysia Sdn Bhd (JAF) bertempat di Shah Alam, Selangor.
Rombongan lawatan ini telah diketuai oleh Dr. Ahmad Syahir bin Sarji, Timbalan Pengarah Perubatan II bersama tujuh orang wakil dari HoSHAS serta seorang wakil daripada pihak Radicare.
Tujuan utama siri lawatan teknikal ini adalah untuk melihat dan menilai kecekapan teknologi penapisan udara dan sistem Heating, Ventilation, and Air Conditioning (HVAC) berprestasi tinggi yang dibangunkan oleh JAF.
Langkah proaktif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan dan komitmen jitu pihak HoSHAS dalam mencari solusi terbaik bagi membasmi penyebaran spora kulat di dalam kawasan hospital. Melalui penilaian teknologi terkini ini, kualiti udara dalaman (IAQ) di HoSHAS dapat ditingkatkan bagi menjamin persekitaran yang lebih selamat, bersih dan selesa untuk para pesakit, pelawat, serta kakitangan hospital.
Pihak pengurusan HoSHAS sentiasa memandang serius aspek keselamatan fasiliti dan akan terus bekerjasama dengan pakar-pakar industri bagi memastikan perkhidmatan rawatan kesihatan berada pada tahap yang paling optimum.

Tahniah diucapkan kepada UKOH atas inisiatif pencegahan dan penambahbaikan yang cemerlang ini!