KARNIVAL KATARAK KKM HoSHAS 2.0 2026
Temerloh, 10 September 2026 – Journey to Sight – Perjalanan Menuju Penglihatan yang Lebih Baik menjadi tema Karnival Pembedahan Katarak KKM HoSHAS 2.0 2026 yang berlangsung selama tiga hari, dari 8 hingga 10 September 2026 di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Program berkenaan berjaya melaksanakan sebanyak 90 pembedahan katarak, hasil komitmen dan kerjasama erat pasukan pembedahan serta anggota kesihatan yang terlibat.
Seramai 7 orang pakar bedah dan 63 anggota kesihatan yang terdiri daripada pegawai perubatan, pegawai farmasi, jururawat, penolong pegawai perubatan dan penolong perawatan kesihatan telah bersama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan keseluruhan proses pembedahan dan pengurusan pesakit berjalan lancar.
Pelaksanaan program ini membawa satu matlamat utama, iaitu membantu mengembalikan penglihatan serta meningkatkan kualiti hidup khususnya dalam kalangan warga emas di negeri Pahang.
Kemuncak program diserikan dengan Majlis Perasmian Karnival Katarak KKM HoSHAS 2.0 2026 dan Majlis Penyampaian Cenderamata kepada Penerima Subsidi Pembedahan Katarak Warga Emas Negeri Pahang.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Khairul Amri Ahmad, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, selaku wakil rasmi YB Dato’ Hajah Sabariah binti Saidan, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Pahang.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Jafanita Jamaludin, sebelum diteruskan dengan ucapan perasmian oleh tetamu kehormat.
Turut menjadi pengisian utama majlis ialah tayangan dokumentari ringkas bertajuk “Journey to Sight” yang mengetengahkan kejayaan serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di Negeri Pahang dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
Antara inisiatif yang diketengahkan ialah Subsidi Pembedahan Katarak bagi Warga Emas Negeri Pahang, yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Pahang Makmur dan telah mula dilaksanakan sejak tahun 2024.
Inisiatif tersebut merupakan hasil sinergi antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Perancangan, Operasi dan Data Strategik (UPODS) serta Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP).
Sepanjang tempoh pelaksanaannya, inisiatif berkenaan telah memberi manfaat kepada ribuan warga emas di Negeri Pahang, dengan peruntukan dan sasaran penerima seperti berikut:
2024
• Peruntukan: RM1.2 juta
• Penerima manfaat: 1,000 warga emas
2025
• Peruntukan: RM1.0 juta
• Penerima manfaat: 650 warga emas
2026
• Peruntukan: RM1.5 juta
• Penerima manfaat: 1,020 warga emas
Peningkatan peruntukan kepada RM1.5 juta pada tahun 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan warga emas mendapat akses kepada rawatan pembedahan katarak yang berkualiti, sekali gus membantu mereka memperoleh semula penglihatan, meningkatkan keupayaan berdikari dan menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
Karnival Pembedahan Katarak KKM HoSHAS 2.0 2026 turut membuktikan bahawa hasil gabungan kepakaran, dedikasi, kerjasama dan sokongan pelbagai pihak, lebih ramai rakyat dapat diberikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbangkan tenaga, masa, kepakaran dan sokongan dalam menjayakan program ini.
Kerana setiap penglihatan yang dikembalikan, adalah sebuah kehidupan yang diberi harapan baharu.