KURSUS PENJAGAAN TRAKEOSTOMI PERINGKAT PAHANG TIMUR DAN BARAT 2026
Temerloh, 1 September 2026 - Jabatan Otorinolaringologi (ORL), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) telah menganjurkan Kursus Penjagaan Trakeostomi 2.0 Peringkat Pahang Timur dan Barat pada 1 September 2026 bertempat di Bilik Seminar Orkid & Tanjung, HoSHAS.
Kursus ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 78 orang peserta, terdiri daripada 8 orang Pegawai Perubatan dan 70 orang Allied Health Personnel, termasuk Ketua Jururawat/Sister, Penolong Pegawai Perubatan serta Jururawat. Para peserta hadir daripada hospital-hospital di bawah kluster Jengka, Jerantut, Bera, Bentong, Kuala Lipis dan Raub.
Penganjuran kursus ini bertujuan untuk memberikan pendedahan serta maklumat terkini berkaitan penjagaan trakeostomi, khususnya kepada anggota kesihatan yang belum pernah mendapat pendedahan secara formal mengenai penjagaan pesakit trakeostomi. Selain itu, kursus ini turut menjadi platform untuk memperbaharui dan memperkukuhkan pengetahuan serta kemahiran anggota yang pernah menghadiri kursus sebelum ini.
Antara fokus utama kursus adalah memberikan latihan praktikal berkaitan tatacara penukaran dan pembersihan tiub trakeostomi, pengurusan pesakit trakeostomi di wad serta pengendalian komplikasi yang berkaitan. Latihan ini diharapkan dapat meningkatkan keyakinan anggota kesihatan dalam memberikan penjagaan kepada pesakit trakeostomi, sama ada di wad, Jabatan Kecemasan mahupun Jabatan Pesakit Luar, khususnya di fasiliti kesihatan yang tidak mempunyai perkhidmatan pakar ORL secara langsung.
Bagi Pegawai Perubatan pula, kursus ini turut memberikan pendedahan mengenai prosedur pembedahan trakeostomi serta aspek pengurusan pesakit sebelum dan selepas prosedur.
Kursus ini telah dirasmikan oleh Dr. Mazlina binti Mohtar, Timbalan Pengarah Perubatan I yang menjalankan tugas Pengarah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, sebelum diteruskan dengan sesi ceramah yang merangkumi pelbagai topik, antaranya Anatomy of the Trachea and Physiology of Breathing, Indications of Tracheostomy and Types of Tracheostomy Tubes, How Tracheostomy is Performed, Post-Operative Tracheostomy Care in the Ward and Management of Complications, serta Home Care for Tracheostomy and Tracheostomy Decannulation.
Sesi ceramah telah disampaikan oleh barisan Pegawai Perubatan dan Pakar Otorinolaringologi HoSHAS yang mempunyai pengalaman dalam pengurusan pesakit trakeostomi.
Pada sesi petang, para peserta berpeluang menjalani sesi praktikal secara berkumpulan bersama Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Otorinolaringologi. Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh melalui latihan secara hands-on berkaitan penjagaan dan pengendalian tiub trakeostomi.
Diharapkan penganjuran kursus tahunan ini dapat memberikan pendedahan dan latihan yang berterusan berkaitan penjagaan trakeostomi dalam kalangan warga kesihatan, dan tidak hanya terhad kepada anggota Jabatan Otorinolaringologi sahaja.
Kami percaya bahawa melalui latihan, perkongsian ilmu dan kemahiran yang diberikan, warga kesihatan akan lebih yakin dan kompeten dalam memberikan penjagaan serta rawatan yang selamat dan terbaik kepada pesakit yang mempunyai trakeostomi.
Tahniah dan syabas kepada semua peserta serta seluruh warga Jabatan Otorinolaringologi HoSHAS yang telah bersama-sama menjayakan kursus ini.
“Knowledge, Skills & Confidence in Tracheostomy Care”