Kursus Asas Pencegahan Kebakaran Tahun 2026 Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh

  • Jabatan / Unit
    Jawatankuasa Keselamatan Kebakaran (HoSHAS)
  • Tarikh
    30 September 2026
  • Lokasi
    Auditorium

Temerloh, 30 September 2026: Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh telah mengadakan Kursus Asas Pencegahan Kebakaran Tahun 2026 pada 24 September 2026 (Khamis), bertempat di Auditorium, Aras 3, HoSHAS Temerloh, bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kesiapsiagaan warga hospital dalam aspek pencegahan kebakaran, pengurusan bencana serta tindakan keselamatan sekiranya berlaku kecemasan di hospital.

Majlis dimulakan dengan sesi pendaftaran dan taklimat kursus, diikuti bacaan doa serta ucapan perasmian oleh Dr. Ahmad Syahir bin Sarji, Timbalan Pengarah Perubatan II, HoSHAS. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan aspek keselamatan kebakaran serta kesiapsiagaan seluruh warga hospital dalam menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan bagi memastikan keselamatan pesakit, pelawat dan anggota hospital sentiasa terpelihara.

Program diteruskan dengan Ceramah 1 bertajuk Pengurusan Bencana yang disampaikan oleh Dr. Mohd Shahrin bin Ahmad Fuat dari Jabatan Kecemasan dan Trauma, HoSHAS Temerloh. Seterusnya, peserta diberikan pendedahan berkaitan Sistem Keselamatan Kebakaran HoSHAS oleh pihak Radicare Sdn. Bhd., Temerloh, serta Pelan Tindakan Kebakaran Hospital yang disampaikan oleh Tn. Hj. Shaipullizam bin Mohamed, Pegawai Keselamatan Kebakaran (FSO). Ceramah turut merangkumi tajuk Keselamatan Kebakaran di Tempat Kerja yang disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin.

Pada sebelah petang, peserta mengikuti latihan amali memadam api yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Temerloh, dengan kerjasama pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin. Latihan yang diadakan di padang berhadapan Taman Teraputik Fisioterapi ini memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari teknik penggunaan alat pemadam api yang betul serta meningkatkan kemahiran bertindak ketika menghadapi situasi kebakaran.

Diharapkan penganjuran kursus ini dapat memperkukuh tahap kesedaran, pengetahuan dan kemahiran warga HoSHAS dalam menghadapi insiden kebakaran, di samping memupuk budaya kerja yang mengutamakan keselamatan serta memastikan persekitaran hospital sentiasa selamat untuk pesakit, pelawat dan seluruh warga kerja.

“KESELAMATAN KEBAKARAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA”

#HoSHAS
#KursusAsasPencegahanKebakaran2026
#KeselamatanTanggungjawabBersama
#JKNP
#Pahang1st


  • Home
  • Info
  • Aktiviti Terkini
  • Kursus Asas Pencegahan Kebakaran Tahun 2026 Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh
HOSHAS

QR Code
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.

Copyright © 2022 All Rights Reserved Sultan Haji Ahmad Shah Hospital Official Portal. Updates :16/10/2026 Total Visitors : 100