MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN 2026

SEKOLAH DALAM HOSPITAL (SDH) HoSHAS
TEMERLOH, 28 Ogos 2026 – Semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara terus disemarakkan menerusi Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan 2026 Program Sekolah Dalam Hospital (SDH), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) yang berlangsung pada Jumaat, 28 Ogos 2026, bertempat di Ruang Legar Melor 1 & 2, HoSHAS.
Majlis ini dianjurkan oleh guru-guru Sekolah Dalam Hospital (SDH) HoSHAS sebagai wadah untuk menyemai semangat cintakan negara, menghayati erti kemerdekaan serta memperkukuh nilai patriotisme dalam kalangan para pelajar SDH, warga hospital dan keluarga.
Majlis telah dirasmikan oleh Dr Mazlina binti Mohtar, Timbalan Pengarah Perubatan I yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Hospital HoSHAS, dan turut dihadiri oleh Dr Ahmad Syahir bin Sarji, Timbalan Pengarah Perubatan II HoSHAS, para jururawat, guru-guru, ibu bapa serta para pelajar SDH HoSHAS.
Pengisian program yang berlangsung dalam suasana ceria dan penuh semangat merdeka antaranya lafaz ikrar, Kuiz Kemerdekaan, deklamasi sajak oleh Ketua Penyelia Jururawat Hospital (KPJH) dan Dr Mazlina, serta nyanyian lagu-lagu patriotik secara beramai-ramai.
Program turut menzahirkan semangat Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, selaras dengan aspirasi untuk membentuk generasi yang berilmu, berakhlak, berjiwa patriotik serta menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi.
Walaupun sedang menjalani rawatan di hospital, para pelajar SDH tetap diberikan ruang untuk belajar, berkarya dan meraikan Bulan Kebangsaan dalam suasana yang bermakna. Inilah semangat “Merdeka di Mana Jua” – kerana kecintaan kepada negara tidak pernah dibatasi oleh tempat dan keadaan.


Selamat menyambut Bulan Kebangsaan 2026!
Ayuh semarakkan jiwa merdeka, pupuk rasa cinta kepada Malaysia dan terus bersama membina generasi MADANI yang gemilang.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
