PROGRAM BAYI MERDEKA SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-69 DI HOSPITAL SULTAN HAJI AHMAD SHAH (HoSHAS)
Temerloh, 31 Ogos 2026 – Program Bayi Merdeka di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) merupakan satu inisiatif istimewa dalam meraikan kelahiran bayi yang lahir bersempena Hari Kebangsaan ke-69.
Program ini bukan sahaja menzahirkan rasa syukur dan bangga sebagai rakyat Malaysia, malah mencerminkan komitmen pihak hospital dalam memastikan perkhidmatan kesihatan maternal dan neonatal yang berkualiti, selamat dan berkesan, di samping memupuk semangat patriotisme sejak detik pertama kehidupan.
Seramai 9 orang bayi telah dilahirkan di HoSHAS bermula pada pukul 12.00 tengah malam, 31 Ogos 2026, sekali gus menjadikan kelahiran mereka satu kenangan yang cukup istimewa buat keluarga masing-masing.
Bagi meraikan detik bermakna tersebut, Dr. Mazlina binti Mohtar, Timbalan Pengarah Perubatan 1 yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Hospital HoSHAS bersama dengan Penyelia Jururawat, Ketua Jururawat serta warga kerja Wad Postnatal telah mengadakan kunjungan ke Wad Bersalin Kenanga 2 dan Kenanga 3 bagi menyantuni para ibu serta bayi Merdeka.
Dalam kunjungan tersebut, pihak pengurusan hospital turut menyampaikan sumbangan ikhlas kepada para ibu sebagai tanda penghargaan dan tahniah atas kelahiran cahaya mata yang istimewa pada hari bersejarah negara.
Pihak HoSHAS amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini dan terus komited dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan ibu dan anak yang terbaik, demi melahirkan generasi Malaysia yang sihat, sejahtera dan penuh semangat patriotisme.
Selamat datang ke dunia, Anak Merdeka! Semoga membesar menjadi insan yang sihat, cemerlang dan menjadi kebanggaan keluarga serta negara.